♥Jom Eratkan Ukhuwah Di Sini - Sila Tinggalkan Link Anda♥

Monday, October 18, 2010

Home » , » ::Dahsyatnya Doa Ibu::

::Dahsyatnya Doa Ibu::

Salam dan Selamat Sejahtera,

Ibu,
Doanya adalah penawar
Juga racun berbisa,
Ibarat tajamnya mata pisau
Yang mampu melakar
Masa depan yang gemilang
Buat anak tercinta
Juga dapat menghancurkan
Masa depan anak derhaka...


Entri aku malam ini menyingkap dahsyatnya doa ibu.Seorang ibu tetap seorang ibu walaupun menurut kita dia kurang baik ataupun mungkin kita membencinya.Apabila ada anak yang mengatakan "Aku tidak minta dilahirkan di dunia ini".Ketahuilah ibu juga tidak minta mengandung dan melahirkan anda.Bahkan sekiranya dia tahu kelak anaknya itu akan menbencinya,lebih baik dia tidak melahirkan anaknya itu.
Oleh itu,seorang ibu perlu berhati-hati sewaktu berdoa kepada Allah kerana doa ibu sangat makbul.Kedudukan ibu pula adalah lebih mulia daripada bapa.

Doa itu mulia di sisi Allah kerana doa itu adalah Otak Ibadah (Hadis laporan Imam yang empat disahihkan oleh Timirzi) dan doa itu dapat mengubah takdir.


Berikut aku nak kongsi kisah Juraij di zaman Rasullah S.A.W seorang ahli ibadah di sebuah biara (tempat ibadah).Mudahan kita dapat mengambil pengajaran dari kisahnya.

.::Pada suatu hari, ibu Juraij datang ke biaranya dan memanggil-manggilnya. Pada waktu itu, Juraij sedang solat dengan khusyuk. Dia menjadi bingung dan berkata dalam hatinya "Ya Allah Ya Tuhanku,adakah aku perlu menjawab panggilan ibuku ataupun meneruskan solatku?" Akhirnya, Juraij meneruskan solatnya dan tidak menjawab panggilan ibunya walaupun solat yang sedang dikerjakannya itu adalah solat sunat.

Tidak berapa lama selepas itu, ibunya datang kembali dan memanggil-manggilnya lagi "wahai Juraij,di manakah engkau anakku?" Pada waktu itu, Juraij masih lagi bersolat dan dia tetap meneruskan solatnya. Apabila anaknya tidak menjawab panggilannya yang berkali-kali, ibu Juraij balik semula ke rumahnya.

Dan kemudian ibu Juraij datang lagi dan memanggil-manggilnya dengan suara yang keras, "Juraij! Juraij! Di mana engkau? Ini ibumu,datanglah ke sini sebentar!" Juraij masih meneruskan solatnya dan dia kebingungan sama ada hendak menjawab panggilan ibunya atau meneruskan solatnya.Oleh itu,sebab solatnya hampir selesai,Juraij meneruskan solatnya.

Selepas tiga kali ibunya datang dan memanggilnya, Juraij tetap tidak menjawab panggilannya.Ibunya marah dan terlanjur mengutuk Juraij dengan berkata "Wahai Juraij, semoga Allah tidak mencabut nyawamu sebelum kamu melihat wajah seorang pelacur!" Demikianlah kata-kata ibu Juraij dan dia pulang dengan keadaan marah.

Selang beberapa ketika, seorang pelacur mengadu kepada raja, "Wahai junjunganku, aku melahirkan seorang anak."
Raja pun bertanya " Siapakah bapa anak ini?"
Wanita itu menjawab "Juraij adalah bapanya."
Raja bertanya lagi "Maksudmu Juraij yang memiliki biara itu?"
"Benar wahai raja." Wanita itu menjawab.

Mendengar kata-kata wanita itu, raja menjadi murka dan memerintahkan tenteranya menangkap Juraij.Ramai pelacur datang ke istana kerana mahu melihat Juraij ditangkap.Namun Juraij kelihatan tenang dan tersenyum hingga semua orang kehairanan. Raja juga memerintahkan biara Juraij dimusnahkan.

Kemudian raja bertanya kepadanya " Wahai Juraij,kamu adalah seorang ahli ibadah tetapi perbuatanmu sungguh keji.Wanita ini datang menghadapku dan mengakui melahirkan anakmu.Adakah kata-kata itu benar?"

Dengan tenang, Juraij menoleh ke arah wanita itu dan bertanya "Adakah benar aku pernah menggaulimu?"

"Ya, benar." Jawab pelacur itu dengan tegas.

Juraij bertanya lagi "Di manakah anak itu sekarang?"

Wanita itu berkata "Dia ada dalam buaian itu."

Juraij menghampiri bayi yang tidak berdosa itu dan bertanya "Siapakah ayahmu?" Tiba-tiba bayi itu menjawab, "Dia penggembala lembu."

"Nah sekarang tuanku dan sekalian yang hadir terbukti wanita ini berbohong!" kata Juraij.

Semua yang hadir terperanjat dan kagum menyaksikan kejadian yang luar biasa itu.Mereka juga berasa bersalah kerana menuduh Juraij tanpa usul periksa,terutamanya raja.

Dengan rasa malu dan menyesal,raja berkata,"wahai Juraij aku akan membina semula biaramu daripada emas."

Juraij menjawab,"Tidak perlu."

Raja berkata lagi, "Bagaimana jika aku membinanya daripada perak?"

Sekali lagi Juraij menjawab "Tidak perlu."

"Lalu dengan apakah aku perlu membina biaramu?" Raja bertanya. Juraij menjawab "Binalah seperti sediakala."

Dengan demikian,raja pun memerintahkan membina semula biara Juraij seperti sediakala. Kemudian raja bertanya kepada Juraij, "Mengapa kamu menerima semua tuduhan itu dengan tenang? Bahkan kamu tersenyum menghadapi pelacur itu?"

Juraij menjawab, "Pada waktu itu,aku menyedari,Allah mengabulkan doa ibuku." Lantas Juraij menceritakan kepada raja apa yang berlaku.

Kisah Juraij yang terkandung dalam hadis di atas tercatat dalam kisah Sahih Muslim terbitan Beirut,Lebanon.Dan kisah ini benar-benar berlaku.Ia perlu dijadikan renungan dan pengajaran untuk semua orang kerana ia membuktikan betapa mustajabnya doa seorang ibu::.

p/s : sekurang-kurangnya jika tersedar dari kesilapan,cepat-cepatlah buat solat taubat.Mudahan kita semua sentiasa diampunkanNya..Amin.Insya-Allah.

0 comments:

Post a Comment

Latest Posts Plugin for WordPress, Blogger...