♥Jom Eratkan Ukhuwah Di Sini - Sila Tinggalkan Link Anda♥

Friday, October 22, 2010

Home » , , , » ::Aminulrasyid : Tiga Saksi Nafi::

::Aminulrasyid : Tiga Saksi Nafi::

Yelah kalau barang bukan kita punya tak kan nak ngaku kan.Tapi parang yang dijumpai tu dah berkarat..sape pulak yg nyimpankan..Semua kerja Tuhan,biarlah Dia yang mengadili..kita dengar dan lihat jelah apa keputusan akhir kes ni. Tak kiralah berapa tinggi kita punya pangkat tapi pangkat kita di sisi Allah tetap sama level..ingat tu.. :)

Misteri sebilah parang yang dijumpai di dalam kereta Proton Iswara yang dipandu Aminulrasyid Amzah pada malam remaja itu ditembak mati masih belum terjawab apabila tiga saksi menafikan senjata tajam itu milik mereka.

Kakak Aminulrasyid, Tuty Shaninza Anom Amzah dan suaminya, Muzafar Mahali, 36, serta bapa mertua yang juga pemilik berdaftar kereta tersebut, Mahali Ramlan semasa memberi keterangan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini masing-masing tidak tahu parang itu milik siapa.
Mereka juga pada bila-bila masa tidak pernah melihat mahupun meletakkan parang itu di dalam kereta Proton Iswara berwarna putih dengan nombor pendaftaran BET 5023.

“Saya ada memiliki parang tapi saya pasti yang ini bukan saya punya. Saya pun tak tahu parang ini milik siapa,’’ kata Mahali, 69, semasa ditunjukkan senjata tajam itu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Dusuki Mokhtar.
Dalam keterangan saksi lain sebelum ini, parang itu dikatakan dijumpai di bawah tempat duduk penumpang bahagian hadapan kereta tersebut pada malam kejadian.

Sementara hasil analisis seorang ahli kimia terhadap parang itu, menunjukkan tiada sebarang kesan darah mahupun profil asid deoksiribonukleik (DNA) ditemui pada parang berkarat itu.
Dalam kes ini, Koperal Jenain Subi, 48, dari Unit Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, di Jalan Tarian, Seksyen 11 di sini antara pukul 1.10 dan 2 pagi, 26 April lalu.

Dia dibicarakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Tuty Shaninza, 36, berkata, dia mengesyaki keretanya dipandu Aminulrasyid apabila mendapati tidak kelihatan di garaj, manakala adiknya tiada di rumah pada pukul 3.30 pagi, 26 April lalu.
Dia turut mengesahkan adiknya itu tidak pernah belajar memandu dan tidak pernah memandu kereta, apatah lagi mempunyai lesen memandu kerana usianya 15 tahun.

Menurut ibu kepada tiga anak itu, dia memandu kereta Proton Iswara milik bapa mertuanya itu dari Klang dan sampai ke rumah ibunya di No. 26, Jalan Makyong 11/2G, Seksyen 11 di sini selepas maghrib pada 25 April lalu.
Aminulrasyid yang ketika itu sedang membuat kerja rumah di meja makan meminta dia memasak nasi goreng sebelum mereka makan malam bersama dan dia naik tidur bersama anak-anaknya dengan meninggalkan kunci kereta itu di tingkat bawah.

“Kira-kira pukul 3 pagi, suami menelefon bertanya kereta saya berada di mana. Saya jawab ada di garaj. Dia minta saya pastikan. Bila saya periksa saya dapati kereta saya tiada.

“Suami suruh periksa siapa bawa kereta itu. Saya dapati semua adik-adik ada di rumah kecuali Aminulrasyid. Suami kata polis datang ke rumah mertua dan beritahu kereta itu ada kes,” katanya.
Berikutan itu, saksi memberitahu, dia keluar dari kawasan rumah dan ternampak kereta peronda polis di simpang jalan masuk ke rumah ibunya sebelum berjalan ke sana.

Menurut Tuty Shaninza, dia cuba bertanya siapa pemandu kenderaan itu kepada seorang anggota polis yang berada di tempat kejadian apabila melihat keretanya terjungkit berhampiran tembok pagar sebuah rumah.
Gagal mendapat sebarang jawapan, dia kembali ke tempat itu pada pukul 7 pagi dan sempat melihat kesan darah di tempat duduk pemandu dan penumpang selain kesan tembakan pada cermin belakang kereta sebelum ia ditarik ke Balai Polis Seksyen 11.

Jelas saksi yang merupakan kakak kedua Aminulrasyid, dia mengetahui secara pasti adiknya memandu kereta tersebut selepas membuat pengecaman mayat mangsa di bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, pukul 3 petang hari yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Latifah Mohd. Tahar bersambung 28 Oktober ini.

0 comments:

Post a Comment

Latest Posts Plugin for WordPress, Blogger...